Tuesday 29 October 2013

ANAK ADA PEPERIKSAAN LAGI!



Teks     : Norhafizah Binti Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Binti Abd Hadi

Assalamualaikum semua, 

Kepulangan anak sulung dari sekolah harini agak berbeza sedikit. Nampak riak dan perlakuan suami yang ketara berbeza. Dia mendukung, mencium si anak berkali-kali sambil mengucapkan tahniah. Saya lantas bertanya, rupanya si anak dapat mengekalkan kedudukan pertama dalam peperiksaan. Alhamdulillah. 

Satu lagi berita menyusul, anak kami akan dihantar untuk menghadapi satu lagi peperiksaan peringkat daerah. Setiap sekolah akan menghantar 2 orang pelajar terbaik untuk bersaing dalam peperiksaan tersebut. Perasaan saya bercampur baur. Usaha perlu diteruskan agar anak dapat menjawab peperiksaan dengan baik, dalam masa yang sama saya juga agak tertekan untuk mengimbangi emosi saya dan anak dalam mengulangkaji pelajaran kerana dia masih budak-budak, tidak dapat fokus lama. Saya mengambil langkah belajar secara santai sahaja, tetapi konsisten.

Saya perhatikan sukatan pelajaran tadika semakin tinggi. Terfikir, mampukah anak saya mengingat dari kulit ke kulit. Kita usaha sahaja lah ye nak! Selebihnya kita berdoa dan bertawakal. Semoga dimudahkan dan dikurniakan kejayaan duhai anak. Amin.


Sunday 27 October 2013

BERKONGSI NIKMAT



Teks      : Norhafizah Binti Abd hadi
Gambar : Norhafizah Binti Abd hadi

Assalamualaikum semua, 

Alhamdulillah pagi Sabtu yang ceria, bersama suami dan anak-anak di rumah dengan pelbagai aktiviti yang menghiburkan. Sekali sekala kedengaran jeritan suara dan tangisan, lumrah kanak-kanak bermain dan bergaduh bersama. Syukur nikmat kebahagiaan dari Allah.

Juadah makan tengahari kami hari ini sangat istimewa. Ikan sembilang hasil tangan bapa mertua menjala di Kuala Selangor. Beliau memang sangat suka turun ke laut, adakalanya sebahagian hasil tangkapannya akan dijual. Hobi yang sangat bermanfaat, sambil layan hobi sambil jana pendapatan. 

Ikan sembilang selepas dibersihkan


Siap! Ikan sembilang masak berlada


Kadangkala kita fikir susah untuk “membuat” pahala, kita fikir yang rumit dan besar sahaja. Kisah lauk istimewa saya hari ini dapat menjadi contoh mudahnya membuat saham akhirat dengan memberi. Seisi keluarga saya dapat menikmatinya, berantai-rantai pahalanya insya Allah. Itu hanya contoh kecil, banyak lagi yang dapat kita lakukan walaupun kecil di mata insan tetapi besar ganjarannya di sisi Allah. Hanya kita yang tentukan, nak atau tak nak sahaja untuk kebaikan. 

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Friday 25 October 2013

DULU LAIN SEKARANG LAIN



Teks     : Norhafizah Binti Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Binti Abd Hadi




 


Assalamualaikum semua, 

Minggu ini anak sulung saya menduduki peperiksaan akhir tahun bagi sekolah tadikanya. Normalnya ibu bapa lah yang kecut perut melebihi anaknya. Saya dan suami bergilir-gilir menemani anak mengulangkaji pelajaran. Sesungguhnya apa yang anak saya lalui itu tidak pernah saya lakukan semasa tadika dahulu. Rasanya tengok buku masa di sekolah sahaja, pulang rumah terus masuk alam lain.

Antara pesanan gurunya agar tekankan pada kiraan wang syiling. Terkejut juga kami rupanya tadika dah ada silibus wang syiling, sangka kami itu silibus sekolah rendah. Biasanya di rumah, kami berikan dia latih tubi tambah dan tolak sahaja, maka selepas ini bertambahlah silibus ulangkaji bersamanya.

Saya fikir dan kenang semula, dahulu tidak pernah saya diajar mengira wang syiling oleh ibu dan ayah. Tiba-tiba sahaja pandai sendiri he he. Oh! Teringat saya suatu masa dahulu saya dan adik beradik yang lain kerap disuruh ke kedai terdekat untuk membeli keperluan harian dan kadangkala pergi membeli keperluan sendiri. Secara tidak langsung, kiraan wang syiling itu dipelajari dari rutin tersebut.

Ya, itu suatu masa dahulu, sekarang jarang sekali ibu bapa melepaskan anak kecil keluar rumah apatah lagi bersendirian, malah saya juga termasuk dalam golongan tersebut. Dunia sekarang sudah tidak selamat. Nyawa juga semakin terancam. Anak-anak masa kini juga tidak dapat mengecapi zaman kanak-kanak ibu bapa mereka, jika ada pun pasti di bawah pengawasan dan pemerhatian. Bunyinya seperti terkongkong, tetapi sebenarnya lebih kepada menitikberatkan keselamatan dan kebersamaan. Keadaan membuatkan kita lebih berhati-hati.

Ya Allah, selamatkan lah kami dan generasi kami dari segala bencana dan musibah. Berilah kami kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat. Amin. 



Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.




Tuesday 22 October 2013

FIKIR-FIKIR, TIMBANG-TIMBANG



Teks      : Norhafizah Binti Abd Hadi
Gambar  : Google

Assalamualaikum semua, 


Tatkala orang ramai sibuk membuat persiapan hari raya Aidiladha baru-baru ini, saya pun turut sibuk. Sibuk memikir dan merancang persiapan untuk bekerja dari rumah. Memang tidak mudah. Saya dan suami senaraikan hal-hal yang perlu diambil tindakan dan senaraikan keperluan yang perlu dibeli. Kami buat sedikit-sedikit memandangkan masa agak terbatas dan anak-anak turut ‘menolong’. Saya perlu bersedia sebelum tugasan pertama diberi untuk mengelakkan ‘huru-hara’.


Alhamdulillah sebahagian keperluan sudah dibeli dan beberapa perkara sedang diambil tindakan. Doa berterusan saya panjatkan semoga Allah memudahkan segala urusan dan memberkati segalanya.


Sebenarnya apa jua yang kita lakukan perlu ada perancangan. Perancangan menerbitkan rasa kesungguhan. Namun kita juga perlu sandarkan pada Allah atas segala yang kita lakukan dan akan lakukan. Sesungguhnya kita merancang, Allah juga merancang, perancangan Allah jua yang terbaik dan terhebat. Subhanallah. 


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

 
DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014